Curang & Viralkan: Betul atau Salah?
- nzc legal
- 13 Mac
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Isu kecurangan dan tindakan menularkan pasangan di media sosial terus menjadi fenomena yang membimbangkan dalam masyarakat masa kini.
Perkara ini telah dikupas dalam satu sesi ceramah anjuran Jabatan Pembangunan Wanita yang disampaikan oleh Puan Nor Zabetha binti Muhamad Nor menerusi platform dalam talian pada 13 Mac lalu.
Dalam ceramah bertajuk “Curang & Viralkan: Betul atau Salah?”, beliau menjelaskan bahawa peningkatan penggunaan media sosial telah mendorong individu untuk berkongsi isu peribadi secara terbuka tanpa mempertimbangkan implikasi undang-undang dan kesan jangka panjang.
Menurut beliau, tindakan menularkan pasangan yang didakwa curang boleh membawa kepada kesan berantai atau “snowball effect” iaitu sesuatu isu kecil boleh berkembang menjadi kontroversi besar yang sukar dikawal.
“Dalam banyak keadaan, tindakan tersebut dilakukan secara impulsif akibat tekanan emosi, tanpa menilai risiko undang-undang yang mungkin timbul,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, individu yang menyebarkan kandungan berkaitan orang lain tanpa asas kukuh berpotensi berdepan tindakan undang-undang, termasuk saman sivil yang melibatkan reputasi dan fitnah.
Selain itu, ceramah tersebut turut menekankan bahawa konflik rumah tangga yang tidak ditangani dengan baik, termasuk kegagalan komunikasi dan kurangnya penghargaan antara pasangan, sering menjadi punca kepada tindakan mendedahkan isu secara terbuka di media sosial.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta mengelakkan daripada menjadikan media sosial sebagai medium utama untuk menyelesaikan konflik peribadi.
Tonton Rakaman Ceramah
Rakaman penuh sesi ceramah boleh ditonton di pautan berikut:

Komen