Bila Rumah Bukan Lagi Syurga”: Isu ‘Familicide’ Dikupas di Podcast TV3
- nzc legal
- 17 Mac
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR, 2026 – Kes jenayah pembunuhan yang melibatkan ahli keluarga atau ‘familicide’ iaitu membunuh ahli keluarga sendiri kian meningkat dan memerlukan perhatian serius.
Perkara ini dibincangkan dalam Podcast Utama Buletin TV3 bertajuk “Bila Rumah Bukan Lagi Syurga”, yang menampilkan peguam Puan Nor Zabetha binti Muhamad Nor bersama Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr. Azizul Awaludin.
Dalam sesi tersebut, familicide dijelaskan sebagai tindakan mengambil nyawa ahli keluarga sendiri, yang lazimnya berpunca daripada gabungan faktor seperti gangguan kesihatan mental, tekanan hidup dan konflik emosi yang tidak terkawal.
Menurut Dr. Azizul, dalam sesetengah keadaan, pelaku mengalami gangguan kognitif sehingga gagal membuat pertimbangan rasional, malah ada yang mempercayai tindakan tersebut sebagai satu bentuk “perlindungan” terhadap ahli keluarga.
Mengulas dari sudut perundangan, Puan Nor Zabetha menegaskan bahawa setiap kes akan dinilai berdasarkan fakta dan bukti, termasuk elemen niat, perancangan sebelum kejadian serta tingkah laku selepas kejadian.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembelaan berkaitan masalah mental tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya tanpa sokongan bukti perubatan dan penilaian pakar.
Perbincangan itu turut mendedahkan bahawa lebih 90 peratus kes familicide melibatkan pelaku lelaki, yang sering dikaitkan dengan tekanan sebagai ketua keluarga, kesukaran meluahkan emosi serta kecenderungan mengawal keadaan.
Sehubungan itu, orang ramai disaran agar lebih peka terhadap tanda awal seperti sifat panas baran melampau, cemburu keterlaluan dan kawalan berlebihan dalam hubungan.
Kesedaran awal, sokongan keluarga serta akses kepada bantuan profesional dilihat sebagai langkah penting dalam mencegah tragedi yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.



Komen