top of page

WHI: Privasi Bukan Bahan Kandungan: Peguam Tegaskan Had Undang-Undang Media Sosial

NZC

4 Feb 2026

Perkongsian mengenai batasan kebebasan bersuara, risiko doxing dan implikasi undang-undang terhadap penyebaran maklumat peribadi di media sosial

KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat peribadi di media sosial tanpa kebenaran boleh mengundang tindakan undang-undang, sama ada secara jenayah mahupun sivil.


Perkara itu ditegaskan oleh Peguam Bela dan Peguam Cara, Puan Nor Zabetha Mohamad Nor, ketika menjadi panel jemputan dalam program bual bicara Wanita Hari Ini yang membincangkan topik “Apabila Privasi Dijadikan Kandungan”.


Menurut beliau, walaupun kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan tersebut bukanlah mutlak dan tertakluk kepada batasan undang-undang.


“Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat peribadi seseorang sehingga menimbulkan tekanan, ancaman atau menjatuhkan reputasi,” katanya.


Beliau menjelaskan bahawa tindakan seperti penyebaran maklumat peribadi secara terbuka (doxing), memuat naik gambar tanpa izin serta perkongsian kandungan berunsur fitnah boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.


Katanya, meskipun sesuatu kandungan telah dipadamkan, jejak digital masih boleh dikesan melalui proses forensik digital dengan bantuan pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).



Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan tindakan terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian sehingga menyebabkan gangguan atau ancaman kepada orang lain.


Puan Nor Zabetha turut menasihatkan mangsa agar menyimpan bukti digital seperti tangkap layar kandungan, profil pemilik akaun serta reaksi pihak ketiga bagi tujuan tindakan undang-undang.


“Padam bukan bermakna hilang. Bukti digital masih boleh dikesan dan digunakan dalam prosiding mahkamah,” jelasnya.


Beliau turut menegaskan bahawa wanita yang difitnah berkaitan maruah dan kehormatan diri mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi mereka.


Program tersebut turut menekankan kepentingan literasi digital dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.


Mengakhiri sesi perbincangan, beliau menyeru orang ramai supaya berfikir secara matang sebelum memuat naik atau berkongsi sesuatu kandungan.


“Setiap perkongsian mempunyai implikasi. Gunakan media sosial dengan bijak dan bertanggungjawab,” katanya.

 

© 2026 by Nor Zabetha Chinna & Co

 

bottom of page