
NZC
10 Mac 2026
3,768 Kes Direkodkan: Isu Keganasan Rumah Tangga Semakin Membimbangkan
KLANG, 10 Mac 2026 – Isu keganasan rumah tangga di Malaysia terus mencetuskan kebimbangan apabila sebanyak 3,768 kes direkodkan setakat Jun 2025, sekali gus mencerminkan situasi yang semakin serius dalam masyarakat.
Perkara ini dikongsikan dalam ceramah “Wanita dan Keganasan Rumah Tangga: Apakah Solusinya?” yang disampaikan oleh Puan Nor Zabetha binti Muhamad Nor sempena program anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang. Sesi berlangsung selama hampir 4 jam.

Menurut beliau, keganasan rumah tangga bukan sekadar melibatkan kecederaan fizikal, malah merangkumi penderaan emosi, psikologi, seksual dan kewangan yang sering berlaku secara senyap tanpa disedari.
“Ramai tidak sedar bahawa keganasan boleh bermula daripada perkara kecil seperti tekanan emosi, konflik berpanjangan dan keputusan impulsif yang akhirnya menjadi lebih serius,” katanya.
Tambah beliau, banyak kes sebenarnya mempunyai tanda awal, namun diabaikan sehingga membawa kepada implikasi yang lebih buruk.

Dalam masa sama, orang ramai diingatkan bahawa mangsa mempunyai perlindungan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 serta peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku.
Program ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih peka, berani mendapatkan bantuan dan tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk keganasan rumah tangga.