
NZC
14 Jan 2026
Panduan undang-undang dan tindakan wajar ibu bapa dalam menangani kes buli pelajar di sekolah
Kuala Lumpur: Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah terus menjadi perhatian, termasuk insiden yang berlaku seawal hari pertama persekolahan dan melibatkan murid sekolah rendah. Situasi ini menuntut tindakan yang rasional dan berlandaskan undang-undang daripada ibu bapa mangsa serta ibu bapa pemangsa.
Peguam Bela dan Peguam Cara, Puan Nor Zabetha, menasihatkan ibu bapa agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dalam menangani isu buli melibatkan anak-anak.
Menurut beliau, kanak-kanak di peringkat awal usia sering kali belum mampu membezakan antara perbuatan bergurau dan perbuatan membuli. Justeru, pendidikan dan bimbingan awal daripada ibu bapa amat penting bagi membentuk sikap saling menghormati dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata, sekiranya berlaku kes buli, ibu bapa disarankan untuk membuat aduan kepada pihak sekolah terlebih dahulu. Jika tindakan yang diambil didapati tidak berkesan atau tiada tindakan diambil, aduan boleh dikemukakan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Aduan lanjut juga boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sekiranya isu berkenaan masih tidak diselesaikan.
Mengulas dari sudut perundangan, Puan Nor Zabetha menjelaskan bahawa Seksyen 82 dan 83 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun lazimnya tidak dianggap bertanggungjawab secara jenayah.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa keadaan ini tidak menafikan hak ibu bapa mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap pemangsa melalui ibu bapa atau penjaga mereka, bergantung kepada fakta dan keadaan kes.
Bagi kes yang melibatkan pelajar sekolah menengah, terutamanya yang menyebabkan kecederaan fizikal, laporan polis masih boleh dibuat tertakluk kepada tahap keseriusan kes.
Puan Nor Zabetha turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadi enabler dengan menutup kesalahan anak-anak, kerana tindakan sedemikian boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan sikap dan tanggungjawab kanak-kanak.
Isu buli bukan sekadar isu disiplin sekolah, malah melibatkan keselamatan, kesejahteraan emosi dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.