
NZC
22 Jan 2026
Ibu bapa tidak wajar berdiam diri terhadap kecuaian di taska dan tadika
Peguam bela dan Peguam cara, Puan Nor Zabetha Muhammad Nor dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya berdiam diri sekiranya berlaku unsur kecuaian, pengabaian atau penderaan terhadap kanak-kanak di pusat asuhan kanak-kanak (TASKA) dan tadika.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam segmen Reaksi di Bernama Radio bersama penyampai Natasha Aimi dan Ziana Nasir, yang membincangkan isu kegagalan institusi pendidikan awal dalam melindungi keselamatan serta kebajikan kanak-kanak.
Menurut beliau, ibu bapa menghantar anak ke taska dan tadika dengan harapan anak berada dalam keadaan selamat dan pulang dalam keadaan ceria. Namun, terdapat kes kanak-kanak dihantar dalam keadaan sihat tetapi pulang dengan trauma emosi, ketakutan serta kecederaan fizikal akibat kecuaian atau pengabaian.
Bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Seksyen 31), sebarang perbuatan yang menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan jenayah. Walaupun kecederaan berlaku akibat perbuatan kanak-kanak lain, pihak pengurusan TASKA masih boleh dipertanggungjawabkan sekiranya ia berpunca daripada kegagalan pengawasan atau kecuaian penjaga.
Beliau turut menjelaskan bahawa TASKA dan tadika wajib mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kegagalan mematuhi piawaian ini juga boleh menjadi asas kepada aduan dan tindakan undang-undang.
Puan Nor Zabetha menegaskan bahawa ibu bapa mempunyai hak untuk membuat laporan polis, mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa serta mengambil tindakan sivil di mahkamah bagi menuntut keadilan dan ganti rugi atas kecuaian yang berlaku.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan hanya menukar sekolah tanpa membuat laporan rasmi tidak menyelesaikan masalah sebenar, malah boleh menyebabkan perbuatan sama berulang kepada kanak-kanak lain.
“Kita adalah wira kepada anak-anak kita. Anak-anak adalah amanah. Jika kita tidak bertindak, pihak yang cuai tidak akan dipertanggungjawabkan dan risiko yang sama boleh berlaku kepada kanak-kanak lain,” katanya.
Beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa peka terhadap perubahan fizikal dan emosi anak-anak serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang unsur mencurigakan demi melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.