
NZC
26 Jan 2026
Ulasan perundangan mengenai doxing dan perlindungan hak privasi di Malaysia
26 Januari 2026 – Puan Nor Zabetha telah dihubungi oleh Radio Bernama bagi mengulas isu doxing dalam segmen “Reaksi”, dengan fokus kepada hak privasi dan perlindungan undang-undang di Malaysia.
Menurut beliau, penyalahgunaan maklumat peribadi adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Sekiranya maklumat seseorang dibocorkan atau digunakan tanpa kebenaran, tindakan undang-undang boleh diambil selaras dengan akta tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa perbuatan mendedahkan nama, alamat atau maklumat ahli keluarga seseorang dengan niat untuk mengganggu atau menakutkan mangsa boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 507E dan 507F Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melalui Seksyen 233 juga boleh terpakai sekiranya kandungan yang dimuat naik dalam talian bersifat mengancam atau mengganggu.
Pn Nor Zabetha menegaskan bahawa walaupun maklumat yang disebarkan adalah benar, tujuan dan kesan penyebaran tersebut tetap menjadi pertimbangan utama di sisi undang-undang, khususnya jika ia menyebabkan ketakutan atau kegusaran kepada mangsa.