top of page

Temu bual bersama Berita Al Hijrah: Lindungi keselamatan kanak-kanak di media sosial

NZC

28 Dis 2025

Peguam Nor Zabetha Muhammad menegaskan keperluan undang-undang diperkasakan bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi kandungan komersial di era digital

KUALA LUMPUR: Peguamcara dan peguambela, Nor Zabetha Muhammad, berpandangan bahawa undang-undang di Malaysia masih mempunyai kelompongan dalam menangani isu eksploitasi kanak-kanak di media sosial, khususnya apabila ia melibatkan tujuan pengiklanan, populariti dan keuntungan komersial.


Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Berita AlHijrah berhubung peningkatan trend penggunaan kanak-kanak sebagai kandungan media sosial oleh ibu bapa dan pencipta kandungan.

Menurut Nor Zabetha, meskipun kes eksploitasi kanak-kanak di media sosial oleh ibu bapa sendiri semakin membimbangkan dan kerap berlaku di peringkat antarabangsa, perundangan sedia ada di Malaysia masih belum cukup menyeluruh untuk mengawal penggunaan kanak-kanak sebagai kandungan komersial, khususnya apabila tiada unsur eksploitasi seksual yang jelas.



“Di Malaysia, perlindungan undang-undang terhadap kanak-kanak wujud, namun ia lebih tertumpu kepada eksploitasi berbentuk seksual yang nyata. Bagi kes melibatkan penggunaan kanak-kanak sebagai kandungan komersial tanpa unsur tersebut, ia masih berada dalam 'grey area' dari sudut perundangan,” jelas beliau.


Tambah beliau, peruntukan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia hanya terpakai sekiranya terdapat elemen pornografi, kelucahan atau eksploitasi seksual secara jelas. Namun, banyak kandungan media sosial melibatkan kanak-kanak tidak mencapai ambang tersebut walaupun berpotensi memberi kesan negatif terhadap psikologi dan masa depan kanak-kanak.


Nor Zabetha turut menegaskan bahawa fenomena sama berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, di mana kandungan berbayar dan vlogger keluarga yang melibatkan kanak-kanak masih sukar dikawal akibat ketiadaan undang-undang khusus.


Sehubungan itu, beliau menyeru agar undang-undang berkaitan kanak-kanak diperkasakan dan ditambah baik agar selari dengan cabaran era digital, demi memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kanak-kanak di Malaysia.

 

© 2026 by Nor Zabetha Chinna & Co

 

bottom of page