
NZC
4 Dis 2025
Tribunal Anti-Buli diwujudkan bagi memastikan penyelesaian lebih efektif dan mudah diakses.
KUALA LUMPUR, 4 Disember 2025 – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Buli, suatu perkembangan penting dalam usaha negara memperkenalkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan komprehensif bagi menangani isu pembulian yang semakin membimbangkan.
Sebelum ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus yang mendefinisikan perbuatan buli. Banyak insiden sering dipandang ringan dan disalah anggap sebagai “gurauan”, menyebabkan tindakan hanya diambil apabila wujud kecederaan fizikal—itu pun melalui peruntukan umum di bawah Seksyen 323 atau 324 Kanun Keseksaan. Pendekatan ini sering gagal mencerminkan keseluruhan kesan sebenar yang ditanggung mangsa, khususnya dari aspek psikologi dan sosial.
Pelbagai insiden, termasuk kes tragis seperti Zara Qairina, telah menarik perhatian masyarakat terhadap keperluan mendesak untuk undang-undang yang lebih tegas dan terperinci.
Melalui RUU Anti-Buli ini, Seksyen 3 memperkenalkan definisi yang jelas dan luas merangkumi:
Buli fizikal
Buli psikologi seperti penghinaan, ugutan dan ejekan
Buli sosial melalui pengasingan, kerosakan reputasi atau penciptaan suasana tidak selamat
Buli berasaskan jantina, bangsa, agama atau kelainan upaya
Siber buli, termasuk kandungan digital seperti posting, mesej atau video yang mempermalukan atau mengugut
Perbuatan buli boleh berlaku sekali (sekiranya menyebabkan kecederaan serius) atau secara berulang.
Di bawah Seksyen 2, mangsa meliputi kanak-kanak bawah 18 tahun, pelajar tanpa mengira usia, serta kanak-kanak di pusat pemulihan termasuk Henry Gurney. Walaupun demikian, terdapat pandangan bahawa perlindungan serupa wajar diperluaskan kepada golongan dewasa, khususnya dalam kes melibatkan siber buli.
Salah satu komponen utama dalam RUU ini ialah penubuhan Tribunal Anti-Buli, yang menawarkan saluran penyelesaian yang lebih cepat, berpatutan dan mudah diakses berbanding proses mahkamah biasa.
Tribunal diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah seperti:
Permohonan maaf rasmi
Pemadaman kandungan buli di platform media sosial
Pembayaran balik kos munasabah mangsa
Pampasan sehingga RM250,000 bagi kerugian atau kerosakan yang dialami
Ketika ditemu bual oleh Berita Al-Hijrah, rakan kongsi firma kami memuji RUU ini sebagai langkah proaktif yang berpotensi meningkatkan tahap perlindungan kepada mangsa dan memperkukuh budaya sifar toleransi terhadap amalan buli di negara ini.