
NZC
15 Dis 2025
Program Hari Mesra Integriti CyberSecurity Malaysia memberi pendedahan isu keselamatan siber, undang-undang digital dan tanggungjawab dalam era siber.
CYBERJAYA, 15 Januari 2026 – Cyber Security Malaysia telah menganjurkan Program Hari Mesra Integriti bertemakan “Integriti Digital: Cabaran Undang-Undang dalam Era Siber” sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai isu keselamatan siber, penyalahgunaan teknologi digital dan implikasi undang-undang berkaitan.
Program ini menampilkan rakan kongsi firma, Nor Zabetha binti Muhamad Nor sebagai penceramah jemputan yang berkongsi pengetahuan berkaitan cabaran dunia siber masa kini, khususnya penularan maklumat palsu, kebocoran data peribadi, ugutan siber serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, antara cabaran utama dalam era digital ialah fenomena penularan (viral) yang boleh memberi kesan serius terhadap reputasi dan keselamatan individu. Selain itu, isu doxing, iaitu pendedahan maklumat peribadi atau kewangan tanpa kebenaran melalui platform digital semakin membimbangkan dan boleh menyebabkan tekanan, ketakutan serta kemudaratan kepada mangsa.

Program ini turut menghuraikan peruntukan undang-undang berkaitan, antaranya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta pindaan yang dicadangkan bagi memperketatkan hukuman terhadap kesalahan kandungan jelik melampau, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun. Perlindungan khas juga diberikan kepada kanak-kanak dengan hukuman lebih berat sekiranya kesalahan melibatkan individu di bawah umur 18 tahun.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan, yang merangkumi kesalahan berkaitan gangguan, tekanan, ketakutan, ugutan serta penyebaran maklumat identiti dengan niat jahat. Hukuman boleh merangkumi pemenjaraan dan denda bergantung kepada tahap kemudaratan yang dialami mangsa.
Cabaran penguatkuasaan undang-undang seperti pembuktian kes, penggunaan akaun palsu dan kos perundangan turut dikenal pasti sebagai halangan utama dalam menangani jenayah siber. Sehubungan itu, usaha berterusan diperlukan termasuk pemindaan undang-undang sedia ada serta cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Anti Buli bagi menangani isu buli siber secara lebih menyeluruh.
Program ini juga memberi pendedahan mengenai hak dan tindakan yang boleh diambil oleh penjawat awam yang berdepan tekanan atau ugutan dalam era siber, termasuk tindakan jenayah dan sivil serta prosedur mendapatkan bantuan guaman mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Cyber Security Malaysia dalam memupuk budaya integriti digital dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap tanggungjawab serta implikasi undang-undang dalam penggunaan teknologi siber