top of page

The Price of ‘Just a Joke’: Unmasking Workplace Sexual Harassment

NZC

24 Okt 2025

Gangguan seksual di tempat kerja bukan sekadar “gurauan”, tetapi satu bentuk salah laku serius yang memberi kesan psikologi, profesional dan undang-undang, serta memerlukan pencegahan melalui pendidikan, polisi, dan tindakan tegas.

GOMBAK, 24 Oktober 2025 – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan ceramah khas bertajuk “The Price of ‘Just a Joke’: Unmasking Workplace Sexual Harassment” yang disampaikan oleh Puan Nor Zabetha binti Muhamad Nor, rakan kongsi di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.


Sesi ini memberi tumpuan kepada bagaimana budaya “sekadar gurauan” di tempat kerja boleh menjadi satu bentuk gangguan seksual tersembunyi, berdasarkan contoh situasi sebenar yang sering berlaku dalam organisasi. Antara contoh yang dikupas termasuk frasa yang kelihatan tidak berbahaya tetapi boleh ditafsirkan sebagai gangguan, seperti komen mengenai penampilan, soalan peribadi, ajakan berbaur kawalan dan komunikasi bernada flirtasi.


ree

Ceramah turut menjelaskan definisi gangguan seksual menurut Akta Kerja 1955, meliputi kata-kata, isyarat, sentuhan, tindakan, dan mesej digital yang bersifat seksual dan tidak diingini. Peserta diberi panduan mengenai batas profesional yang wajar dipatuhi di tempat kerja merangkumi jarak fizikal, komunikasi, penggunaan media sosial, jemputan sosial dan bahasa tubuh.


Selain itu, penceramah turut menghuraikan contoh tingkah laku gangguan seksual seperti sentuhan tidak diingini, mesej lucah, pandangan berunsur seksual, ugutan, jenaka lucah serta perilaku menghina yang mengancam kesejahteraan mangsa.


Ceramah ini juga menyentuh beberapa kes mahkamah termasuk kes Dr. Ridzwan, Tang Heng Lee, dan Hosny Yunus, bagi memperlihatkan bagaimana mahkamah menilai bukti serta mengambil pendirian tegas terhadap pelaku gangguan seksual. Puan Zabetha turut menekankan kesan serius terhadap mangsa seperti PTSD, keletihan emosi, kebimbangan, masalah tidur dan kemurungan, berdasarkan data kajian yang dipaparkan.


Sesi turut menggariskan hak mangsa, peranan saksi, serta tanggungjawab majikan termasuk kewajipan melakukan siasatan di bawah Seksyen 81F dan 81H Akta Kerja 1955.

Secara keseluruhan, program anjuran IIUM ini berjaya meningkatkan kefahaman peserta bahawa gangguan seksual di tempat kerja bukan sekadar “gurauan”, tetapi satu bentuk salah laku serius yang memberi kesan psikologi, profesional dan undang-undang, serta memerlukan pencegahan melalui pendidikan, polisi, dan tindakan tegas.

 

© 2026 by Nor Zabetha Chinna & Co

 

bottom of page