
NZC
Dec 24, 2025
Perkongsian kesedaran undang-undang mengenai manipulasi, gangguan seksual dan saluran perlindungan untuk wanita.
Kuala Lumpur – Peguam Nor Zabetha Muhammad Nor telah dijemput sebagai panel jemputan dalam program televisyen Wanita Hari Ini menerusi segmen khas bertajuk “Wanita Jangan Jadi Mangsa”, yang membincangkan isu penindasan, gangguan seksual, manipulasi emosi serta perlindungan undang-undang terhadap wanita di Malaysia
Dalam perbincangan tersebut, Nor Zabetha Muhammad Nor menegaskan bahawa wanita menjadi mangsa bukan kerana kelemahan, tetapi akibat manipulasi sistematik oleh pemangsa yang mengeksploitasi empati, kepercayaan dan ketakutan mangsa. Beliau menjelaskan bahawa kitaran manipulasi boleh bermula sejak usia kanak-kanak, berterusan dalam hubungan toksik, keganasan rumah tangga, penipuan kewangan, sehinggalah eksploitasi terhadap wanita warga emas yang hidup bersendirian.

Beliau turut menerangkan bahawa ketakutan untuk tampil ke hadapan sering berpunca daripada stigma masyarakat, kurangnya sokongan sekeliling serta kebimbangan terhadap proses laporan polis dan perbicaraan mahkamah. Sehubungan itu, beliau menggalakkan wanita mendapatkan sokongan yang betul melalui peguam, kaunselor atau pakar psikologi, serta mengelakkan pandangan tidak berautoriti di media sosial yang boleh melemahkan mangsa.
Dari sudut perundangan, Nor Zabetha berkongsi pendedahan penting mengenai saluran undang-undang yang tersedia, termasuk kewujudan Tribunal Anti-Gangguan Seksual, keperluan pengumpulan bukti seperti tangkap layar mesej, laporan polis, dokumentasi kecederaan, serta tindakan segera bagi mengelakkan bukti hilang atau dipertikaikan. Beliau menekankan bahawa banyak perbuatan yang dinormalisasikan dalam hubungan atau tempat kerja sebenarnya merupakan kesalahan di sisi undang-undang.
Segmen ini turut menekankan mesej utama bahawa tiada siapa mampu mengubah keadaan seseorang wanita melainkan dirinya sendiri, dengan sokongan sistem yang betul dan tindakan yang bijaksana. Penyertaan dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan firma dalam meningkatkan kesedaran undang-undang, memperjuangkan hak wanita dan menyumbang kepada pendidikan masyarakat melalui platform arus perdana.