top of page

Temu bual Wanita Hari Ini- Antara Sabar dan Selamat

NZC

Dec 17, 2025

Keganasan rumah tangga tidak berlaku secara tiba-tiba. Selalunya ia bermula dengan red flag yang kecil tetapi berulang dan semakin memburuk.

Peguambela dan peguamcara yang juga merupakan rakan kongsi kami, Nor Zabetha binti Muhamad Nor menegaskan bahawa keganasan rumah tangga bukan hanya terhad kepada penderaan fizikal, sebaliknya merangkumi penderaan mental, emosi, psikologi dan kewangan yang sering berlaku secara berperingkat dan sukar dikesan pada peringkat awal.


Menurut beliau, masih ramai yang salah faham tentang maksud sebenar keganasan rumah tangga kerana mengaitkannya semata-mata dengan perbuatan memukul atau mencederakan pasangan. Hakikatnya, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah memperuntukkan pelbagai bentuk perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai keganasan termasuk mewujudkan ketakutan, mengurung pasangan, mengawal pergerakan, memusnahkan harta benda serta mengawal kewangan pasangan.



Nor Zabetha menjelaskan bahawa kebanyakan kes keganasan rumah tangga yang serius tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya didahului dengan tanda-tanda amaran awal (red flags) yang sering diabaikan. Antara petunjuk tersebut termasuk sikap pasangan yang terlalu mengawal, memeriksa telefon, meminta kata laluan akaun peribadi, mengawal pergaulan, mudah marah serta menggunakan kata-kata kesat dan ugutan.


Beliau turut menekankan bahawa penderaan psikologi merupakan antara bentuk keganasan yang paling kerap dipandang ringan sedangkan kesannya terhadap kesejahteraan mental mangsa adalah besar dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa hidup dalam tekanan, ketakutan serta hilang keyakinan diri.



Mengulas mengapa mangsa sering memilih untuk terus bertahan dalam hubungan toksik, Nor Zabetha berkata faktor seperti kebergantungan kewangan, maruah, tekanan sosial, sokongan persekitaran serta alasan cinta menjadi antara punca utama. Dalam pengalamannya, terdapat mangsa yang telah diberi penerangan lengkap mengenai perlindungan undang-undang, namun masih belum bersedia untuk keluar daripada hubungan tersebut.


Beliau menegaskan bahawa sistem perundangan di Malaysia menyediakan perlindungan kepada mangsa, termasuk perintah perlindungan kecemasan serta hukuman lebih berat terhadap pelaku keganasan, khususnya apabila melibatkan kecederaan antara pasangan. Sehubungan itu, wanita disaran supaya lebih berani tampil ke hadapan, memahami hak mereka dan mengutamakan keselamatan diri demi kesejahteraan jangka panjang.

 

© 2026 by Nor Zabetha Chinna & Co

 

bottom of page