top of page

From Zero to Hero

NZC

Jan 15, 2026

Memperkasa pelajar melalui inspirasi, bimbingan profesional dan perkongsian pengalaman dunia guaman.

Kuala Lumpur, 15 Januari 2026 – Sesi perkongsian motivasi bertajuk “From Zero to Hero” bersama Puan Norzabetha di Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar telah berlangsung dengan jayanya dan memberi impak yang mendalam kepada para pelajar.


Program tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada pembinaan matlamat dan impian hidup, malah turut diperkaya dengan sesi interaktif bersama peguam-peguam muda yang terdiri daripada kakitangan serta peguam pelatih (chambering) dari firma Puan Norzabetha. Kehadiran mereka memberi pendedahan awal kepada para pelajar yang berminat dalam bidang perundangan.


Dalam sesi tersebut, para peguam muda berkongsi pengalaman peribadi mengenai perjalanan mereka mengejar cita-cita dalam bidang guaman, termasuk cabaran akademik, disiplin pembelajaran serta pengorbanan yang terpaksa dilakukan, antaranya berjauhan dengan keluarga demi menuntut ilmu dan membina kerjaya.



Mereka turut berkongsi tip pembelajaran serta panduan praktikal kepada pelajar yang bercita-cita menjadi peguam, sekali gus memberi gambaran realistik tentang dunia perundangan dan persediaan mental yang diperlukan. Sesi dua hala ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila para pelajar aktif bertanya dan berkongsi pandangan dalam suasana yang terbuka dan berinformasi.


Puan Norzabetha menegaskan bahawa kejayaan tidak hadir tanpa usaha, pengorbanan dan nilai integriti, serta menggalakkan pelajar untuk menetapkan matlamat yang jelas dan berpegang teguh kepada sebab utama mereka ingin berjaya. Program ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan contoh yang baik, generasi muda mampu dibentuk menjadi individu yang berdaya saing serta berprinsip.

 

© 2026 by Nor Zabetha Chinna & Co

 

bottom of page