
NZC
2 Dis 2025
Majikan boleh mengambil tindakan atas salah laku di luar waktu kerja jika menjejaskan reputasi atau tugas pekerja
KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025– Rakan kongsi kami telah dijemput oleh stesen radio Kool FM bagi segmen pagi yang dihoskan DJ Haiza untuk membincangkan tentang undang-undang pekerjaan iaitu “Adakah majikan boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap pekerja atas aktiviti peribadi atau kesalahan luar waktu bekerja?”
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada kuasa majikan, hak privasi pekerja serta had undang-undang dalam mengenakan tindakan tatatertib terhadap perilaku di luar tempat kerja.
Isu ini mendapat perhatian susulan perkembangan semasa berkaitan operasi Op Songsang yang melibatkan beberapa penjawat awam seperti guru-guru dan doktor kerajaan yang ditahan kerana penglibatan dalam aktiviti tidak sihat.

Secara asasnya di Malaysia, bidang pekerjaan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu sektor swasta dan penjawat awam yang masing-masing dikawal oleh peruntukan undang-undang yang berbeza. Akta Kerja 1955 mengawal pekerja sektor swasta manakala penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Ini termasuk kewajipan untuk menjaga nama baik jabatan atau kementerian, mengelakkan konflik kepentingan serta memelihara integriti perkhidmatan awam.
Walaupun setiap individu mempunyai hak kelepasan peribadi dalam kehidupan luar kerja terdapat pengecualian. Sekiranya aktiviti peribadi melibatkan jenayah, salah laku serius, atau tindakan yang boleh menjejaskan reputasi organisasi dan mengganggu keupayaan pekerja menjalankan tugas, majikan mempunyai hak untuk mengambil tindakan tatatertib namun tindakan tersebut mestilah mematuhi prosedur yang adil serta undang-undang yang berkuat kuasa.